BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, September 18, 2010

Filtration(s)





Pernah suatu hari, Abu Bakar AsSidiq menemui Handzalah AlUsaidi seraya berkata,
 "Bagaimanakah kamu pada hari ini ya Handzalah?".
 Lalu jawab Handzalah, "Handzalah telah menjadi munafiq!". 
Abu Bakar berkata, "Maha suci Allah, apakah yang telah kamu rasakan ini?".
 Jawablah Handzalah, "Ketika berada di sisi Rasulullah, baginda mengingatkan kita tentang syurga dan neraka sampai seakan-akan kita melihatnya dengan mata kepala kita sendiri. Namun, di saat aku telah keluar dari sisi Rasulullah, aku disibukkan dengan isteri, anak-anak dan harta bendaku. Sehingga aku menjadi lupa."
 Terus berkata Abu Bakar, "Demi Allah, aku juga merasakan seperti itu!"

Kemudian, Handzalah dan Abu Bakar pergi menghadap Rasulullah SAW dan berkata Handzalah,

 "Ya Rasulullah, Handzalah telah menjadi munafiq!".
 Maka bertanya Rasulullah kepadanya, "Bagaimana itu?".
 Lalu jawab Handzalah, "Wahai Rasulullah, apabila kami berada di sisimu, engkau mengingatkan kami dengan neraka dan syurga sampaikan seakan-akan kami melihatnya secara langsung. Tetapi apabila kami keluar dari sisimu, kami telah disibukkan dengan isteri dan anak-anak serta harta benda kami sehinggakan kami banyak lupa."

Maka, bersabda baginda SAW:
Demi yang jiwaku di tanganNya, seandainya kalian senantiasa seperti keadaan kalian ketika berada di sisiku, nescaya para malaikat akan menyalami kalian di atas tempat tidur dan di jalan kalian. Tetapi wahai Handzalah, sesaat sesaat." [Hadith Riwayat Muslim] (Ahli mufassirin menafsirkan 'sesaat, sesaat' sebagai fitrah manusia yang sesaat ingat dan di saat yang lain menjadi lupa)

Subhanallah, ikhwah dan akhawat sekalian. Betapa sensitifnya iman para sahabat, sehingga hati yang disibukkan dengan keluarga dan harta, hati yang menjadi lupa kepada bayangan syurga dan neraka terus dikatakan munafiq. Mari kita tanya,
bagaimanakah iman kita? Pulang ke rumah dikatakan kerehatan.. Lupa sekali sekala dikatakan kebiasaaan. "Lumrahlah, iman kan turun naik!", menjadi alasan.

Ikhwah dan akhawat sekalian, menjadi kader dakwah sebenarnya menyediakan diri kita untuk
sentiasa berhadapan dengan saringan Allah. Saringan sentiasa berjalan. Adakah kita kader yang menepati muwasofat mustawa kita? Adakah kita du'at yang apabila diberi amanah, kita lakukan sebaiknya? Ataukah kita jundi yang apabila diminta menyampaikan tazkirah di hadapan, hati kita terdetik, "Aku lebih berilmu daripada kawan-kawan"? Atau apabila kita dilantik menjadi ketua, kita menerima dengan hati yang bangga, "Aku sudah lama di lapangan da'wah". Atau apabila diminta menghadiri program tarbawi, kita hadir dengan tujuan agar murobbi nampak kelibat kita. Atau kita menjadi imam dalam qiamullail dan solat fardhu agar orang mengagumi hafazan kita? Atau kita adalah akh yang menuding jari kepada teman-teman seangkatan yang diuji dengan kelekaan seraya mengatakan, "Sesungguhnya mereka telah futur, dan aku masih lagi berada di jalan ini" dengan penuh bangga sedangkan di saat itu Allah sedang menyaring dan menguji hati kita?
Medan da'wah adalah medan saringan. Ada yang syahid di pertengahan jalan. Ada yang berpatah arang sebelum garisan. Kita mungkin pandai menuding jari kepada individu yang asalnya hebat, tetapi kini diulit urusan dunia. Kita terus menerus mengatakan mereka futur. Alangkah indahnya kalau hidup ini hanya hitam dan putih. Nilailah hati kita. Sentiasalah check iman kita. Berada di medan ini bukan satu jaminan untuk terus kukuh langkah di jalan ini. Ujian kita mungkin nampak kecil, tapi sebenarnya kritikal di sisi iman. Ujian keikhlasan, kepatuhan, menjaga lidah, merendahkan diri, dan banyak lagi. Allah sedang menyaring kita dalam setiap urusan. Apabila bermuamalat, adakah hambaKu ini menjaga pertuturannya? Adakah pertuturannya menggambarkan peribadi mukmin? Apabila bermesyuarat, Allah sedang melihat, apakah hambaKu ini amanah dalam urusan dan masanya? Bagaimanakah ketaatannya kepada amir dan syura? Apabila tidurnya hambaKu yang mengatakan dirinya da'ie yang menyeru manusia ke jalanKu, adakah namaku meniti di bibirnya sebelum ia melelapkan mata? Murobbi yang petah berkata di hadapan khalayak, adakah apabila diamnya sebenarnya dia berzikir mengingatiKu?

Medan da'wah adalah saringan. Kalau sahabat mengatakan mereka munafiq hanya kerana terleka dengan keluarga, kita bagaimana? Sebelum terus melabel dan menghukum orang, ingatlah, satu jari dituding kepada seseorang, sekurang-kurangnya 3 jari menuding kepada diri kita sendiri. Sejauh mana kita sentiasa memeriksa label iman kita? Kita mengimpikan maghfirahNya, jannahNya, mardhatillah, tetapi untuk mencapai semua itu, iman yang bagaimanakah yang ingin kita persembahkan untuk dijadikan tukar ganti hadiah Allah yang agung itu? Kita inginkan kemenangan Islam, tetapi iman bagaimanakah yang membolehkan kejayaan Islam tercapai?

Ikhwah dan akhawat sekalian..

Kembalilah kepada tarbiyyah. Da'wah adalah tarbiyyah. Tarbiyyah bukan segala-galanya, tetapi segala-galanya bermula dari tarbiyyah. Tarbiyyahlah insya'Allah akan mendidik kita untuk melepasi saringan di medan da'wah satu per satu. Agar akhirnya, kita semua bersatu dalam jannahNya setelah melepasi dengan cemerlang segala saringan yang disediakanNya.

Ikhwah dan akhawat, semoga Allah sentiasa memelihara iman kita dan tiada satu saat pun yang Allah melepaskan iman kita dari genggamanNya. Sama-samalah kita sentiasa menjaga iman kita kerana iman-iman yang terjaga itu insya'Allah akan menjamin kemenangan Islam dan seterusnya melayakkan diri untuk berehat di jannahNya kelak.

0 comments: